Majikan & Pekerja: Keutamaan & Tanggungjawab

Majikan: Keutamaan & Tanggungjawab

Miqdam bin Ma’di Kariba, bahawasanya dia mendengar Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda, “Dan apa yang engkau berikan kepada pembantumu maka itu menjadi sedekah bagimu.” (As-Sahihah di dalam Sahih Adabul Mufrad)

Syaikh Abdul Adhim Badawi dalam makalah Majalah Adz-Dzkhiirah Al-Islamiyah menjelaskan bahawa para sahabat Nabi itu sikap mereka terhadap dalil ialah ‘dengar dan patuh’. Ketaaatan para sahabat kepada hadith Nabi itu seiring dengan ketaatan mereka terhadap kalam Allah Al-Qur’an. Miqdam bin Ma’dakarib juga yang meriwayatkan hadith dari bagindan Nabi, “Ketahuilah, aku diberi Al-Qur’an dan sesuatu yang serupa dengannya (Al-Qur’an) bersamanya (iaitu hadith/ sunnah).” (riwayat Ahmad)

Biografi Miqdam

Miqdam bin Ma’di Kariba Al-Kindi dengan kuniyah Abu Karimah. Imam Ahmad bin Hanbal menghimpunkan kira-kira 31 hadith yang diriwayatkan oleh Miqdam dalam Musnad Penduduk Syam. Dan hanya satu hadith di dalam Sahih al-Bukhari. Dari jumlah itu sebahagian darinya hadith-hadith berkaitan muamalat. Beliau wafat pada tahun 87 H.

Tidak banyak keterangan yang diperoleh mengenai Miqdam dalam kitab-kitab biografi dan kitab rijal. Hanya sahaja beliau dikenali sebagai seorang yang pemurah dan suka menolong orang lain sebagaimana diceritakan oleh Muawiyah bin Abu Suffyan tatkala menjawat jawatan khalifah. Muawiyah pernah memberikan 200 dirham kepada Miqdam. Miqdam tidak mengambil wang itu untuk dirinya sebaliknya membahagi-bahagikan kesemua wang itu kepada sahabat-sahabatnya. Ketika mengetahui hal ini Muawiyah berkata: “Miqdam ialah lelaki yang dermawan dan tangannya selalu terbuka (untuk menolong).” (Sunan Abu Daud, Sahih)

Selain mengetahui Miqdam seorang dermawan dan suka sedekah, sikap ini juga berkait rapat dengan sebuah lagi hadith yang beliau riwayatkan. Ia berkaitan keutamaan untuk memakan sesuatu yang datang dari hasil usahanya sendiri. Miqdam meriwayatkan Nabi bersabda maksudnya, “Tidaklah seseorang itu makan sesuatu makanan, sekalipun sedikit, yang lebih baik daripada apa yang dimakannya dari hasil usaha tangannya dan sesungguhnya Nabi Daud Alaihisalam itu juga makan dari hasil usaha tangannya.” ( riwayat al Bukhari)

Membayar Upah dan Gaji Pekerja Termasuk Ibadah Sedekah

Hadith pertama memberikan faedah bahawa membayar upah dan gaji pekerja juga mendapat keutamaan pahala sedekah. Membayar gaji dan upah itu adalah kewajipan majikan, namun yang dimaksudkan ialah selain menunaikan kewajipan majikan juga mendapat ganjaran pahala sebagaimana sedekah. Dari Abu Said Al-Khudry Radliyallaahu ‘anhu bahwa Nabi Shallallaahu ‘alaihi wa Sallam bersabda: “Barangsiapa mempekerjakan seorang pekerja hendaknya ia menentukan upahnya.” (Riwayat Abdul Razzaq dalam hadits munqathi’. Hadits maushul menurut Baihaqi dari jalan Abu Hanifah dalam Kitab Bulughul Maram)

Umumnya hadith ini menjelaskan bahawa upah atau bayaran sesuatu pekerjaan itu ditetapkan terlebih dahulu sebelum sesuatu pekerjaan dilakukan. Setelah kedua-belah pihak setuju dan redha dengan penetapan itu baharulah ia dilaksanakan. Ini senada dengan sebuah hadith yang lain bahawa Nabi melarang memberikan kerja kepada seorang buruh sebelum jelas upah yang akan diterimanya. (riwayat An-Nasaa’i)

Seiring dengann keuatamaan dan ganjaran pahala yang dijanjikan, terdapat juga tanggungjawab yang perlu dipenuhi oleh pihak majikan. Satu adab dan etika yang diajar oleh baginda Nabi ialah melangsaian upah dan gaji dengan kadar segera sebagaimana dijanjikan. Dari Ibnu Umar Radiyallaahu ‘anhu bahwa Rasulullah Sallallaahu ‘alaihi wa Sallam bersabda: “Berikanlah kepada pekerja upahnya sebelum mengering keringatnya.” (Riwayat Ibnu Majah sebagaimana dicatat dalam Bulughul Maram. Dinilai sahih oleh Syaikh Al-Albani dalam Sahih Targhib wa Tarhib)

Syaikh Abdullah bin Abdurrahman Al-Jibrin menjelaskan yakni sebelum berlalu waktunya yang dijanjikan walaupun sedikit. Dalam sistem gaji bulanan yang dipraktiskan kebanyakan majikan hari ini, maka upah dan gaji pekerja seharusnya dibayar pada setiap hujung bulan atau tarikh yang sudah dipersetujui pada peringkat awal.

Tambah beliau,”Tidak diragukan lagi, bahawa menangguhkannya hingga dua bulan atau lebih akan menyulitkan orang-orang miskin itu, lebih-lebih lagi mereka menanggung beban nafkah untuk keluarga dan diri mereka sendiri. Penangguhan itu tentu mengakibatkan mereka kepada kelaparan, kesuliatn, tidak adanya pakaian, pinjaman dan utang. Sungguh ini merupakan kezhaliman yang besar. Maka hendaknya para majikan senantiasa mengingat hal itu dan membayangkan bila hal itu menimpa mereka. Jika hak mereka ditahan sementara mereka sangat memerlukan, apa yang akan mereka lakukan. Hendaklah mereka takut akan doanya orang yang dizalimi, kerana tidak ada pembatas antara Allah dan doanya orang yang dizalimi.” (Ad-Durr Ats-Tsamin fi Fatawa Al-Kufala wal Amilin, hal. 63 Syaikh Ibnu Jibrin)

Lebih-lebih lagi seandainya upah itu bukan sahaja dilewatkan bayaran, tentu lebih mudarat dan zalim sekiranya upah itu langsung tidak dibayar. Dengan perkataan lain majikan menipu pekerja. Ia termasuk dalam ancaman menjadi musuh Allah pada hari akhirat kelak. Nauzubillah.

Dari Abu Hurairah Radiyallaahu ‘anhu bahwa Rasulullah Shallallaahu ‘alaihi wa Sallam bersabda: “Allah ‘Azza wa Jalla berfirman: Tiga orang yang Aku menjadi musuhnya pada hari kiamat ialah: Orang yang memberi perjanjian dengan nama-Ku kemudian berkhianat, orang yang menjual orang merdeka lalu memakan harganya, dan orang yang mempekerjakan seorang pekerja, lalu pekerja itu bekerja dengan baik, namun ia tidak memberikan upahnya.” (Riwayat Muslim dalam Kitab Bulughul Maram)

Disebutkan juga bahawa menzalimi upah terhadap buruh termasuk dosa besar. (riwayat Ahmad)

Disediakan Mohd Riduan b Khairi

PPY Borneo ‘Membangun Citra Insan’

https://ppyborneo.wordpress.com

Diizin untuk salinan dan edaran selain dari tujuan komersial. Dengan menyatakan sumber dan rujukan. Penerbitan komersial adalah dengan izin bertulis dari penulis.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s